Showing posts with label Jenayah. Show all posts
Showing posts with label Jenayah. Show all posts

Friday, 7 March 2014

Kes Dera: Cucuh anu anak dengan bara rokok



Ampang: Dua kanak-kanak cedera teruk di beberapa anggota badan termasuk seorang daripadanya dicucuh bara rokok pada kemaluan akibat deraan bapa kandung dalam dua kejadian berasingan yang dikesan polis di Tasik Permai dan Tasik Tambahan, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian di Tasik Permai, seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun didera bapanya dipercayai sejak lebih setahun lalu dan ibunya turut merahsiakan perkara itu kerana bimbang dicederakan jika membuat aduan kepada pihak berkuasa.

Sumber polis berkata, kejadian itu hanya terbongkar selepas seorang jiran yang simpati nekad membawa mangsa ke Hospital Ampang (HA) jam 5 petang kelmarin.

Menurutnya, wanita berusia 40-an itu memberanikan diri membawa mangsa ke HA biarpun pada mulanya usaha itu dihalang ibu kanak-kanak terbabit kerana bimbang menimbulkan kemarahan suaminya.

“Jiran itu bertindak demikian selepas kasihan melihat penderitaan mangsa yang cedera teruk kerana sering didera bapanya dipercayai sejak setahun lalu.

-mymetro

Jumpa bayi bawah pokok



Subang Jaya: “Bayi comel itu dipenuhi najis ketika ditemui sebelum saya mengambil keputusan membawanya pulang ke rumah,” kata Umi Kalsom Khadzir, 18, pelajar Diploma Pengurusan di Management & Science University (MSU) Shah Alam yang menemui seorang bayi perempuan berusia dua hari bersama rakannya yang ditinggalkan di bawah pokok di SS15, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, Umi mendakwa panik dan tidak tahu mahu berbuat apa selepas menemui bayi itu sebelum dia dan seorang rakan mengambil keputusan membawanya pulang ke rumah.

Beliau berkata, ketika kejadian, dia dan rakannya mahu meletakkan kereta di kawasan parkir di situ kerana hendak pergi makan di kafe berhampiran selepas selesai belajar secara berkumpulan.

“Ketika dalam kereta lagi, saya melihat ada bungkusan putih di bawah pokok di kawasan itu dan sebaik turun dari kereta, saya mendengar tangisan bayi sebelum menghampirinya bagi melakukan pemeriksaan.

“Saya tergamam seketika apabila melihat bayi perempuan dibalut menggunakan tuala selain badannya dipenuhi najis,” katanya memberitahu, dia dan rakannya yang panik kemudian mengambil keputusan membawa bayi itu pulang ke rumah.

-mymetro

100 Tonto Kepung Anggota Imigresen Dan GTK



Melaka: Serbuan Jabatan Imigresen negeri di sebuah pusat hiburan terganggu berikutan lebih 100 lelaki dipercayai tonto berkumpul dan mengepung premis tiga tingkat berkenaan di Melaka Raya di sini, kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 7 malam itu, 30 anggota jabatan berkenaan termasuk 23 daripada Grup Taktikal Khas (GTK) dikepung kumpulan terbabit hampir dua jam sebelum berjaya dibawa keluar bersama 35 warga asing termasuk 33 GRO dan seorang wanita dipercayai ibu ayam dengan bantuan polis.

Pemangku Pengarah Imigresen negeri Abu Bakar Sidek Hassan berkata, bukan hanya dikepung, malah kumpulan itu turut membuat provokasi terhadap beberapa anggota GTK yang berkawal di pintu masuk pusat hiburan itu.

“Mereka dipercayai berbuat demikian bagi menghalang kami membawa keluar GRO berkenaan, malah ada antaranya mengambil gambar nombor pendaftaran kenderaan dinaiki anggota jabatan.

“Kami mendapat bantuan daripada 15 anggota polis dari Balai Bandar Hilir untuk membawa keluar GRO berkenaan, mereka turut mengiringi trak dan kenderaan jabatan bagi memastikan tiada perkara tidak diingini berlaku,” katanya.

-mymetro

Pelajar kolej maut ditembak



NILAI: Seorang pelajar warga Afrika berusia 26 tahun maut ditembak di kepala dalam kejadian di tempat letak kenderaan blok penginapan sebuah kolej swasta di Mantin, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang tadi, mangsa dipercayai terbabit dalam pergaduhan sebelum ditembak.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Abdullah Roning berkata, sebaik menerima panggilan pihaknya ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.

Menurutnya, polis menemui mangsa terbaring bawah pokok di lokasi kejadian dengan kesan luka di kepala dipercayai ditembak.

"Kita masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian itu. Hanya satu das tembakan dipercayai dilepaskan suspek.

"Pemeriksaan awal kita (polis) percaya mangsa melarikan diri lebih 100 meter sebelum dia ditembak," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

-mymetro

Thursday, 6 March 2014

2 Beradik Maut Menaiki Pacuan 4 Roda

KEADAAN kereta pacuan empat roda yang dinaiki kedua-dua mangsa

TAPAH: Dua beradik yang dalam perjalanan ke ibu negara dari kampung mereka di Kampung Baru Kuala Nerang, Kedah, maut selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 348.3 Lebuhraya Utara Selatan, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, mangsa Mohd Nadzrul Khairi Ishak, 34, dan abangnya Muhamad Nadzim Ishak, 39, yang juga Pegawai Penerangan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Perlis, meninggal dunia dilokasi kejadian selepas kenderaan dipandu Mohd Nadzrul, dipercayai melanggar belakang sebuah kenderaan lain sebelum dirempuh pula kereta jenis Proton Satria GTI yang datang dari arah sama.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan menurutnya, kenderaan dinaiki mangsa dipercayai melanggar belakang sebuah kenderaan lain sebelum berpusing dan melintang ditengah lorong kanan lebuhraya.

"Siasatan awal mendapati kendaraan jenis Ford Ranger dinaiki kedua-dua mangsa dipercayai melanggar sebuah kenderaan lain yang tidak diketahui nombor pendaftaran dan jenisnya.

"Kenderaan mangsa hilang kawalan hingga berpusing dan melintang jalan dilorong kanan lebuhraya, sebelum sebuah kereta jenis Proton Satria Gti yang datang dari arah sama gagal mengelak dan merempuh bahagaian sisi kiri pacuan empat roda yang melintang itu," katanya.

-mymetro

Wanita Maut Ditembak Menembusi Kepala Kerana Dadah

MAYAT mangsa ditemui lengkap berpakaian dengan kesan tembakan di kepala.

Sepang: Padah terbabit dalam sindiket pengedaran dadah, nyawa seorang wanita berakhir dengan sebutir peluru menembusi kepala sebelum mayatnya ditinggalkan di sebuah ladang sawit di Sungai Pelek, di sini.

Mayat wanita berusia 29 tahun yang lengkap berpakaian namun ada kesan tembakan di kepala ditemui orang awam yang lalu di kawasan itu jam 9 pagi Sabtu lalu, sebelum mereka memaklumkan kepada polis.

Sumber polis berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki berusia 11 bulan terbabit dengan sindiket pengedaran dadah.

“Mangsa tinggal di Cheras bersama anaknya manakala suaminya tinggal berasingan kerana mereka di dalam proses bercerai.

“Mangsa tidak terbabit sepenuh masa dalam aktiviti pengedaran dadah, tetapi hanya mencari pendapatan sampingan bagi menampung kehidupannya bersama anak kecil,” katanya.

-mymetro

Perbicaraan Di Sweden: Shalwati Mengaku Pukul Anak Lelaki Yang Mengamuk



STOCKHOLM: Ibu kepada kanak-kanak Malaysia yang dibicarakan di Sweden kerana memukul anak-anaknya mengaku di mahkamah bahawa dia, pada suatu ketika telah memukul anak sulungnya, Ammar yang mengamuk seperti tidak sedarkan diri.

Shalwati Nurshal menjelaskan pada hari dia memukul Ammar, Ammar berada dalam 'mood' yang teruk selepas bergaduh dengan kakaknya, Aishah dan dia telah bertindak menyebelahi Aishah.

Dia menceritakan kejadian itu selepas pendakwa raya Anna Arnell bertanya tentang Shalwati yang telah memukul Ammar kerana menonton Youtube daripada melakukan kerja rumah bahasa Perancisnya.

"Ah, kejadian inilah yang yang membawa kita ke sini," kata Shalwati, sambil menambah "peristiwa itu yang menyebabkan kami ditahan di dalam sel."

"Ammar telah bergaduh dengan kakaknya, jadi saya memberitahu dia supaya mengambil wuduk (air sembahyang) kerana orang Islam percaya ia boleh membantu membuatkan seseorang itu bertenang," katanya kepada mahkamah daerah Solna, Rabu.

Walau bagaimanapun, apabila Ammar pergi ke bilik air dia mula mengamuk dan menunjukkan kemarahan meluap-luap dengan menghentak-hentakkan dan membaling barang-barang.

"Dia histeria, jadi saya memukulnya di bahu dan memberitahunya supaya berhenti," kata Shalwati.

Sweden telah mengharamkan hukuman pukul terhadap kanak-kanak sejak 1979 dan ini bermakna Shalwati dan suaminya Azizul Raheem Awalluddin berdepan sehingga enam tahun penjara jika didapati bersalah memukul anak-anak mereka.

Shalwati kelihatan tenang semasa menjawab soalan Anna yang telah diterjemahkan daripada bahasa Sweden ke bahasa Inggeris dan merujuk kepada nota-nota yang telah diambil sebelum perbicaraan itu.

Malah, bekas guru itu juga meminta pendakwa raya untuk mengulas lanjut dan memberikan lebih penjelasan mengenai soalan beliau beberapa kali.

Apabila ditanya sama ada pukulan itu telah menyakitkan Ammar, Shalwati berkata anak lelakinya itu itu seolah-olah lebih kepada 'terkejut' berbanding 'cedera'.

"Selepas melihat video kawan-kawannya yang menerangkan apa yang mereka dengar dari Ammar, saya fikir Ammar telah mencari peluang untuk akhirnya memberitahu kawan-kawannya bahawa ibunya telah memukulnya," kata Shalwati, seolah-olah kecewa.

Shalwati menafikan semua tuduhan lain berhubung layanan buruknya kepada Ammar dengan menjelaskan setiap kejadian secara terperinci dan menggambarkan Ammar sebagai seseorang yang suka menokok- tambah dan memperbesarkan cerita.

Apabila ditanya jika dia telah 'menarik telinga Ammar sehingga tangannya terketar-ketar' kerana kerja rumah Matematik, Shalwati dengan tiba-tiba menjawab 'ia satu lagi perkara yang diada-adakan' sebelum menjelaskan bahawa dia gembira dapat mengajar anaknya itu Matematik kerana Ammar jarang-jarang meminta bantuan.

Pada 10 Februari lalu, Shalwati dan Azizul didakwa diatas kesalahan pelanggaran hak integriti kanak-kanak dengan memukul dan mendera mereka.

Kesalahan-kesalahan tersebut didakwa berlaku di rumah keluarganya di Spånga, pinggir bandar Stockholm, antara 15 September 2010 dan 17 Disember 2013.

Perbicaraan diteruskan pada 10 Mac.

-mstar

Wednesday, 5 March 2014

Kes Dibunuh Warga Asing: 'Saya bangga dengan abang saya' - Adik Mangsa



SAYONG - "Saya bangga kerana abang saya meninggal dunia sewaktu sedang melakukan tugas namun saya sedih dengan cara pemergiannya," demikian luahan adik kepada Koperal Raja Aizam Raja Mohid, 55, yang maut diserang warga Indonesia ketika sedang melakukan pemeriksaan di Taman Sentosa, Klang.

Raja Azizul Azan Raja Mohid, 53, berkata, dia mempunyai hubungan yang baik dengan arwah abangnya itu meskipun mereka jarang berjumpa.

Menurutnya, kali terakhir dia berjumpa dengan abangnya itu adalah pada dua tahun lepas ketika dia pulang ke rumah ibu mereka, Sapiyah Endut, 79, di Kampung Sayong Lembah, di sini.

"Kali terakhir saya berhubung dengan arwah adalah pada Selasa minggu lepas. Masa itu kami berbual seperti biasa, berbual tentang keluarga kami.

"Kemudian dia kata dia ada kerja, jadi dia menghentikan perbualan dan akan hubungi saya semula pada sebelah malam. Tapi saya pun lupa dan dia pun tiada hubungi saya lagi.

"Saya memang terkejut bila dapat tahu dia sudah meninggal dunia sebab saya baru sahaja berhubung dengan dia minggu lepas," katanya ketika ditemui di rumah ibunya, di sini, hari ini.

Dia yang bekerja sebagai pemandu bas di Raub bergegas pulang ke kampung sejurus mengetahui tentang tragedi yang menimpa abangnya kira-kira jam 8 pagi hari ini.

Menurutnya, ibunya yang mempunyai masalah ingatan masih dalam keadaan keliru dengan pemergian abangnya namun dia kelihatan sugul kerana tahu salah seorang anaknya meninggal dunia.

"Kami tidak mahu paksa mak untuk tahu apa yang terjadi kepada arwah Raja Aizam sebab kami bimbang dengan keadaan kesihatannya.

"Dia tidak ingat anaknya yang mana meninggal dunia tapi dia tahu bahawa salah seorang anaknya telah pergi meninggalkannya," ujarnya.

Hampir 500 saudara-mara dan jiran terdekat berkumpul di hadapan Surau Khairiyah di sini bagi menunggu ketibaan jenazah dan jenazah Koperal Raja Aizam tiba di surau berkenaan kira-kira jam 8.40 malam tadi.

Raja Aizam meninggalkan seorang isteri, Nor Salmah Nordin, 52 dan empat anak berusia lingkungan 17 hingga 24 tahun.

-sinarharian

Azizul tenang didesak soalan provokasi



STOCKHOLM - SWEDEN. Hari ketujuh perbicaraan pasangan Shalwati Nurshal dan Azizul Raheem Awaluddin yang berlangsung kelmarin menyaksikan pelbagai soalan berbentuk provokasi dilemparkan kepada Azizul selepas mahkamah berhenti rehat.

Azizul yang menafikan semua tuduhan ke atasnya memberitahu mahkamah beliau hanya berasa sedih apabila mendapat tahu Ammar menggunakan kad kreditnya untuk membeli permainan video atas talian, ‘minecraft’.

Bagaimanapun, Azizul menjelaskan dia tidak memukul Ammar dalam insiden tersebut sebaliknya mengambil pendekatan psikologi dengan bertanya sebab selain menjelaskan akibat daripada perbuatannya itu.

Saat ditanya alasan Azizul tidak memenuhi permintaan Ammar untuk membeli permainan tersebut, Azizul dengan tenang menyatakan bahawa permainan itu telahpun dimuat naik ke dalam iPad milik Ammar dan memuat naiknya sekali lagi ke dalam komputer riba adalah suatu pembaziran.

Selain itu, Azizul turut memberitahu langkah tersebut diambil bagi mengurangkan kelekaan dan mengembalikan fokus Ammar kepada pelajaran.

Sementara itu, Azizul turut diminta melakukan pengecaman ke atas dua batang kayu nipis yang diambil dari kediaman mereka di Spanga.

Azizul dalam kenyataannya menafikan kedua-dua kayu tersebut digunakan sebagai alat memukul sebaliknya menerangkan kayu itu dipanggil rotan yang dibeli di Malaysia ketika berkhidmat di Afrika Selatan.

Rotan yang terdapat dalam pelbagai saiz itu hanya boleh didapati di hutan tropika dan terkenal dalam sektor pembuatan perabot.

Azizul menambah rotan tersebut disimpan di rumahnya bertujuan untuk memberi pengenalan dan kesedaran terhadap adat budaya masyarakat Melayu kepada anak-anaknya selain berkongsi maklumat kepada pengunjung-pengunjung asing yang datang ke rumahnya.

Terang Azizul, rotan yang terpatah dua itu digunakan sebagai penunjuk ketika membaca al-Quran selain digunakan ketika bermain silap mata bersama anak-anaknya.

Pegawai pendakwa yang mengesyaki rotan itu patah ketika digunakan untuk memukul bagaimanapun disangkal oleh Azizul apabila menerangkan ianya patah ketika mereka tinggal di Afrika Selatan kerana faktor cuaca selain dijadikan permainan oleh anak-anaknya.

Ketika diminta mengulas dakwaan Ammar yang mengatakan dia dan isterinya ada berbincang mengenai pembahagian tugas untuk memukul anak-anak, Azizul pantas menafikan perkara tersebut dengan menyifatkan kelemahan penguasaan Bahasa Melayu Ammar menjadi punca anak keduanya itu tersalah faham akan perbualannya bersama Shalwati.

Azizul mengatakan bahawa perbincangannya dengan Shalwati akan dilakukan dalam Bahasa Melayu dan akan disertai dengan bunyi televisyen yang kuat selain pintu yang tertutup rapat bagi mengelakkan anak-anak terdengar masalah yang dibincangkan.

Selain insiden melibatkan Ammar, bapa kepada empat orang anak itu turut disoal mengenai insiden melibatkan anak ketiganya, Adam.

Azizul yang kembali beremosi tatkala ditanya mengenai Adam menyatakan dia hanya memarahi Adam kerana berbohong mengenai solat.

“Saya hanya memegang dan memandang ke arahnya sambil menerangkan kepadanya perlahan-perlahan agar bisa difahami dan diamalkan.” Ketika ini Azizul dilihat menundukkan mukanya menahan kesedihan.

Dalam pada itu, Hakim perbicaraan sempat menegur pegawai pendakwa yang dilihat bertanya soalan sama kepada Azizul berulang kali walaupun ada di antaranya merupakan soalan yang telah dijawab sebelum meminta perbicaraan diteruskan.

Azizul yang kelihatan tenang memberitahu setiap ibu bapa yang mempunyai anak wajib memberikan pendidikan kepada anaknya termasuk ajaran Islam.

Beliau menjelaskan solat yang merupakan asas atau tiang pembentukan peribadi Muslim merupakan contoh terbaik apabila Islam menyuruh mengajar anak-anak berusia 7 tahun untuk bersolat dan sekiranya masih gagal mengerjakan solat pada umur 10 tahun, ibu bapa dibenarkan memukul anak-anak tetapi tidaklah sehingga mendatangkan kecederaan.

Perbicaraan yang bermula jam 9 pagi itu kemudiannya memberikan peluang kepada peguam bela Azizul, Jonas Tamm untuk mengemukakan soalan balas.

Ketika disoal oleh peguambelanya Azizul diminta untuk menerangkan sifat dan perilaku Ammar kepada Mahkamah.

Azizul yang sekali sekala mengusap mukanya menggambarkan Ammar sebagai seorang yang mempunyai sifat kepimpinan selain gemar menganggap dirinya seorang yang serba tahu.

Oleh sebab itu, Azizul tidak menafikan jika ada di antara dakwaan yang dikemukakan oleh Ammar dalam kes ini merupakan suatu rekaan atau penambahan daripada cerita asal.

Sementara itu, Jonas sempat mewujudkan keraguan kepada mahkamah apabila meminta Azizul membuat pengecaman rotan yang didakwa oleh anak-anaknya sebagai alat memukul yang telah digunakan dalam kes berkenaan.

Walau bagaimanapun, rotan yang dikatakan panjang dan bersimpul di bahagian hujungnya itu tidak dijumpai di rumahnya sementara Azizul hanya mengenal pasti sebatang rotan yang telah terpatah dua di Afrika Selatan.

Sebagai penutup, ketika ditanya perasaan beliau mengenai anak-anaknya  yang telah berada di Malaysia, Azizul mengakui merasa sedih namun dia merelakan keputusan itu demi kebaikan dan kelancaran terhadap perjalanan kes yang sedang berlangsung.

Sebelum perbicaraan berakhir, Mahkamah Daerah Solna tersebut kecoh seketika apabila pegawai pendakwaan berusaha memohon tambahan masa selama 7 minit bagi mengemukakan keterangan namun akhirnya ditolak Hakim.

Perbicaraan yang masuk hari kelapan hari ini akan menyaksikan sambungan keterangan Azizul dengan pihak pendakwaan dijangka akan menanyakan beberapa soalan tambahan kepada Azizul bagi membuktikan dakwaan mereka.

-sinarharian

Kes bunuh 3 beradik disebut semula



ALOR SETAR - Mahkamah Majistret Alor Setar semalam menetapkan 30 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes pembunuhan tiga beradik perempuan tahun lalu.

Mohd Firdaus Mohd Faridul, 19, dituduh dengan niat melakukan pembunuhan menyebabkan kematian Noor Syafikah Nadia Abdullah, 14, di Kampung Alor Senibong, Mukim Tajar, dekat sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Majistret Mohd Khairul Hafizuddin Ramli membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Ayu Rohaiza Khazali memohon tarikh baru kerana laporan kimia belum lengkap sepenuhnya.

Sebelum prosiding bermula, tertuduh berpakaian kemeja T kuning cair berkolar dilihat sebak selepas bercakap dengan seorang wanita dipercayai ibunya. Suasana bertambah pilu apabila wanita berkenaan juga gagal menahan kesedihan.

Tertuduh diwakili peguam, Burhanudeen Abdul Wahid.

Sebelum ini, akhbar melaporkan anak sulung pasangan Rusdi Rani, 38, dan Siti Aishah Ariffin, 40, Noor Syafikah Nadia, ditemui dalam keadaan meniarap dan separuh bogel kira-kira jam 3.45 petang pada 30 November, di kawasan bendang dekat Kampung Alor Senibong, Langgar.

Manakala dua adiknya, Nurul Izzati Husna, 12 dan Putri Nurul Akma, 3, ditemui mati kira-kira jam 3 petang keesokan harinya dalam keadaan terapung di tali air Terusan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) Kampung Padang Petani.

Dalam kejadian itu, Noor Syafikah Nadia bersama adik-adiknya dilaporkan tidak pulang ke rumah di Kampung Alor Semela, Jalan Datuk Kumbar.

Mangsa dikatakan keluar dari rumah kira-kira jam 7.30 malam untuk ke rumah rakan yang terletak di Kampung Gelam kira-kira 15 minit dari rumah.

-sinarharian

Geng samun lori tumpas



JOHOR BAHRU – Tidak sampai setengah jam melakukan jenayah, polis berjaya menumpaskan satu sindiket samun yang melarikan lori bermuatan jongkong tembaga bernilai RM400,000 di Jalan Litar, Pasir Gudang, di sini, minggu lalu.

Dalam kejadian pada 24 Februari lalu, sekumpulan lelaki melarikan lori berkenaan yang membawa muatan 12 tan jongkong tembaga.

Ketua Polis Johor, Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, bertindak atas aduan diterima, pada jam 2.42 petang, polis melancarkan gerakan mengesan kumpulan terbabit.

"Tindakan pantas polis, dalam masa setengah jam lori berkenaan berjaya dikesan bersama muatannya di Ladang Sawit, Mount Austin. Bertindak atas maklumat, pihak polis telah menjalankan beberapa siri serbuan di sekitar kawasan Seri Alam dan Johor Bahru.

"Dalam serbuan ini, 18 lelaki berumur antara 19 hingga 48 tahun berjaya ditahan. Semakan rekod mendapati empat suspek mempunyai rekod jenayah. Kesemua suspek ditahan reman sehingga 8 Mac depan untuk membantu siasatan.

"Kita yakin dapat menyelesaikan 13 kes samun dengan tertumpasnya sindiket ini,” katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), di sini, semalam.

Dalam pada itu, Mohd Mokhtar berkata, Polis Johor berjaya menumpaskan satu lagi kumpulan samun kargo yang melarikan sebuah lori bermuatan perabot separuh siap di Plaza Tol Tangkak, Ledang, 28 Februari lalu.

Menurutnya, kecurian itu dilakukan oleh tiga lelaki bersenjata parang yang bertindak mengikat pemandu sebelum melarikan lori bersama muatan berkenaan yang dianggarkan bernilai RM500,000.

“Bertindak di atas maklumat, polis membuat beberapa siri serbuan keesokan harinya di Seremban, Negeri Sembilan. Dalam serbuan itu, tiga lelaki berumur antara 36 hingga 38 tahun yang merupakan pelaku kes telah ditahan.

“Selain merampas kembali lori bersama muatannya, polis turut merampas dua parang panjang, dua parang pendek, satu pemutar skru boleh laras dan dua telefon bimbit pengadu yang disamun.

“Semakan rekod jenayah, dua suspek didapati mempunyai rekod kesalahan lampau. Kesemua suspek ditahan reman hingga 8 Mac depan. Kedua-dua kes ini disiasat di bawah Seksyen 395/397, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Katanya, dengan tertangkapnya kumpulan ini, kita percaya dapat menyelesaikan enam kes samun lori bermuatan yang dilaporkan di Johor dan Negeri Sembilan.

-sinarharian

Kehilangan Ijam dirasai rakan (Kes serang hendap warga asing)



KLANG - "Kami ni rakan sekampung, memang rapat sangat dari kecil," kata rakan baik Allahyarham Koperal Raja Aizam Raja Mohd, mangsa serang hendap oleh lima suspek warga asing di Taman Sentosa, di sini, semalam.

Rakan mangsa yang enggan dikenali berkata, dia dan rakan-rakan lain memanggil Arwah Raja Aizam dengan nama Ijam atau Sendut.

"Arwah adalah anak tunggal dan dia seorang yang pendiam tetapi dia sangat bagus dalam pergaulan.

"Dia tak pernah berkira dan selalu berjumpa setiap kali pulang ke kampung di Sayong Lembah, Kuala Kangsar," katanya ketika ditemui di rumah Mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, semalam.

"Memang tak sangka dia akan 'pergi' dengan cara begini, kehilangannya pasti dirasai," katanya.

Anak saudara mangsa, Delimawati Ismail yang popular dengan filem Hantu Kak Limah Balik Rumah, turut hadir menziarahi keluarga mangsa di HTAR, semalam.

Delimawati memberitahu, dia sudah lama tidak bertemu dengan arwah, namun menyifatkan bapa saudaranya itu sebagai seorang yang baik dan sangat pendiam.

"Memang terkejut apabila dimaklumkan tentang kejadian, namun saya reda dengan apa yang berlaku," katanya.

Sepupu mangsa, Norhasrulnizam Mohd Isa, 38, berkata, jenazah arwah disembahyangkan di surau Pangsapuri Polis Taman Sri Andalas, semalam, sebelum dibawa ke kampung Sayong Lembah untuk dikebumikan.

“Allahyarham meninggalkan seorang balu, Nor Salmah Noordin, 52 dan empat anak berusia antara 17 hingga 25 tahun," katanya.

-sinarharian

Tuesday, 4 March 2014

Khalid sahkan individu ditahan bakar suar dan baling bom asap di Selayang

(PERLAWANAN tertangguh seketika kerana penyokong Malaysia menyalakan suar semasa perlawanan persahabatan menentang Filipina di Stadium Selayang, Sabtu lalu. - Foto Goh Thean Howe)


Kuala Lumpur: Polis ada membuat tangkapan terhadap individu yang bertanggungjawab membakar suar dan membaling bom asap ketika aksi persahabatan antarabangsa antara Harimau malaya dan Filipina di Stadium Selayang, Sabtu lalu.

Ketua Polis negara, Tan Sri Khalid abu Bakar yang mengesahkannya semalam bagaimanapun, enggan mengulas lanjut berhubung tangkapan itu, tetapi akan memaklumkan perkembangan siasatan dalam masa terdekat. - Bharian

Anggota Polis Maut Diserang Suspek Warga Asing

(ANGGOTA polis yang tercedera, Mohd Aidil Mustafa ditemani isteri Nor Hazwani Harun, 27, Foto Rosdan Wahid)

Klang: Seorang anggota polis maut manakala seorang lagi cedera selepas diserang lima lelaki dipercayai warga asing, dalam satu kejadian di Taman Sentosa, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi tadi, dua anggota polis itu dipercayai diserang suspek berkenaan ketika mereka sedang membuat rondaan di Lorong Yusuf Shahbudin 44D, Taman Sentosa.

Seorang angggota polis berkenaan, Koperal Raja Aizam Raja Mohd mati ketika dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) manakala seorang lagi masih menerima rawatan di hospital sama. - Bharian

Isteri kedua didenda RM500 lumur cili muka isteri pertama



KUALA LUMPUR: Seorang penjaja dan isteri keduanya didenda RM500 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana melumur cili ke muka isteri pertama penjaja itu bulan lalu.

Majistret Erry Shahriman Nor Aripin menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Ariff Jupirin, 26, dan warga Indonesia Srimeiriska Iswandy, 24, selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Mahkamah juga memerintahkan Muhammad Ariff dan Srimeiriska, menjalani hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda itu.

Muhammad Ariff dan Srimeiriska didakwa sengaja mendatangkan cedera terhadap peniaga Muntamah Ahmad Minlon, 46, yang juga seorang warga Indonesia dengan melumur mukanya dengan cili sehingga menyebabkannya merasa pedih dan sakit di kedua-dua belah matanya.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan rumah No. 12, Jalan Badak Off Jalan Yew, Cheras di sini pada 1 pagi 25 Feb lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Dalam kejadian 25 Feb lepas, semasa Muntamah berada di dalam kereta dan sedang menunggu kawannya di rumah sewanya di tepi Jalan Badak di sini, tiba-tiba dia didatangi kedua-dua tertuduh, dengan seorang daripada mereka melumurkan cili kisar ke mukanya, sebelum seorang lagi menariknya keluar kereta.
Selepas itu, kedua-dua tertuduh melarikan diri bersama kereta mangsa serta barang-barang perniagaan dan beberapa dokumen penting termasuk pasport, sijil nikah, dan sijil kelahiran anak.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. - Bharian

Ahli Politik Ditangkap Khalwat Di Bilik Hotel

(Gambar Hiasan)

KANGAR: Seorang ahli politik ditangkap khalwat bersama dengan seorang lelaki yang sudah berkahwin oleh Jabatan Agama Islam Perlis (Jaips).

Ahli politik itu, 30, yang merupakan seorang janda ditangkap khalwat bersama seorang ahli perniagaan berusia 47 tahun di sebuah bilik hotel dalam satu serbuan pada pukul 1.30 pagi Isnin.

Sumber memberitahu bahawa serbuan itu dilakukan berdasarkan maklumat, sambil menambah bahawa ahli politik itu berpakaian lengkap manakala lelaki tersebut hanya bertuala dan berkemeja-T.

"Kedua-dua mereka memberi kerjasama dengan pegawai jabatan agama Islam dan memberitahu bahawa mereka berdua bukan pasangan berkahwin. Mereka kemudiannya dibawa ke ibu pejabat polis daerah di mana satu laporan dibuat.

"Mereka disiasat di bawah Seksyen 9(1)(1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah, yang mengendakan denda RM5,000, penjara selama tiga tahun, atau kedua-duanya sekali, sekiranya didapati bersalah," kata sumber itu.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superitendan Abdul Rahman Mohd Noordin ketika dihubungi mengesahkan satu laporan polis telah dibuat berhubung insiden oleh pegawai Jaips. - mStar

4 Pihak Penyumbang Pencemaran Sungai Batu Ferringhi



GEORGE TOWN: Empat pihak telah dikenal pasti sebagai penyumbang pencemaran air sungai dan laut di pantai Batu Ferringhi di sini, awal bulan lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri, Chow Kon Yeow berkata, punca itu dikenal pasti hasil siasatan Jabatan Alam Sekitar negeri dan dimaklumkan dalam mesyuarat kerajaan negeri Pulau Pinang pada 28 Februari lepas.

Beliau berkata dalam taklimat itu, JAS turut memaklumkan bahawa ada kertas siasatan terhadap pihak terbabit yang telah siap dan diserahkan kepada pegawai undang-undang JAS persekutuan untuk tindakan lanjut.

"Kertas siasatan ini dibuat berdasarkan Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan) 2009. Sebarang tindakan lanjutan tertakluk kepada keputusan pegawai undang-undang JAS persekutuan," katanya pada sidang akhbar di sini Isnin, yang turut dihadiri pegawai JAS negeri.

Chow berkata, pihaknya juga sedang menunggu laporan daripada pasukan petugas yang dikendalikan Jabatan Pengairan dan Saliran untuk pelan tindakan yang lebih komprehensif bagi mengawal pencemaran air sungai dan laut di kawasan itu.

Menurut Chow, Jabatan Kerajaan Tempatan di bawah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut menghantar surat kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang untuk menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Status Pengoperasian Sistem Pembentungan dan Kejadian Pencemaran Pantai Batu Ferringhi pada Khamis.

Pencemaran air di Batu Ferringhi yang dilaporkan media sejak 3 Februari lepas mendapat perhatian umum memandangkan kawasan itu popular sebagai destinasipelancongan.

Sehubungan itu, pelbagai siri ujian dijalankan oleh pihak terlibat untuk menentukan punca sebenar pencemaran itu. - mStar

Mayat Bayi Ditemui Dalam Kotak Kasut Dekat IPTA Di Sepanggar

(Gambar Hiasan)

KOTA KINABALU: Mayat bayi yang baru dilahirkan ditemui di pondok pengumpulan sampah di sebuah institusi pengajian tinggi awam di Jalan Sepanggar di sini pagi Isnin.

Mayat bayi lelaki yang masih bertali pusat itu ditemui kira-kira 10 pagi oleh pekerja Dewan Bandaraya Kota Kinabalu di dalam kotak kasut yang ditinggalkan di atas tong sampah.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Jauteh Dikun mengesahkan perkara itu dan berkata polis sedang menyisat kes tersebut. - mStar

61 Warga Asing Ditahan Di George Town



GEORGE TOWN: Seramai 61 lelaki rakyat asing ditahan dalam operasi Jabatan Imigresen Pulau Pinang di dua blok tapak pembinaan di Bukit Gedung di sini, Isnin.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen negeri, Basri Othman berkata,mereka yang ditahan terdiri daripada 46 rakyat Bangladesh, 14 warganegara Myanmar dan seorang Indonesia.

Kesemua mereka berusia antara 20-an dan 40-an.

"Lebih 10 orang yang ditahan itu didapati menggunakan pasport dan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNCHR) yang palsu.

"Kami dapati butiran peribadi dan gambar tertera adalah berbeza dengan pemegang pasport dan mereka memberi alasan tidak tahu mengenai perkara itu kerana urusan mengenainya diurus majikan masing-masing," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Antara kesalahan lain mereka ialah tiada dokumen pengenalan diri yang sah, tinggal melebihi masa dan menyalahguna pas lawatan sosial.

Basri berkata, seramai 193 orang diperiksa dalam operasi bermula 11.15 pagi itu. - mStar

Ketua Pegawai Operasi Syarikat Didakwa Bunuh Teman Wanita



PETALING JAYA: Seorang ketua pegawai operasi syarikat kawalan keselamatan didakwa di Mahkamah Majistret di sini terhadap tuduhan membunuh teman wanitanya di sebuah pangsapuri, di Bandar Sunway.

Tertuduh, S. Sarwindren, 30, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret KB Elena Hong Tze Lan.Tiada pengakuan direkodkan.

Sarwindren didakwa membunuh Pakizah Raja Khan, 27, di Pangsapuri Lagoon Perdana, Bandar Sunway di sini antara pukul 8.50 malam dan pukul 1.41 pagi, 17 hingga 18 Februari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 15 April untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Saphirra Selamat manakala tertuduh diwakili peguam Geethan Ram Vincent. - mStar

 

© 2014 MyFM. All rights resevered. Designed by Templateism

Back To Top