Wednesday, 5 March 2014

Kes bunuh 3 beradik disebut semula

10:25



ALOR SETAR - Mahkamah Majistret Alor Setar semalam menetapkan 30 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes pembunuhan tiga beradik perempuan tahun lalu.

Mohd Firdaus Mohd Faridul, 19, dituduh dengan niat melakukan pembunuhan menyebabkan kematian Noor Syafikah Nadia Abdullah, 14, di Kampung Alor Senibong, Mukim Tajar, dekat sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Majistret Mohd Khairul Hafizuddin Ramli membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Ayu Rohaiza Khazali memohon tarikh baru kerana laporan kimia belum lengkap sepenuhnya.

Sebelum prosiding bermula, tertuduh berpakaian kemeja T kuning cair berkolar dilihat sebak selepas bercakap dengan seorang wanita dipercayai ibunya. Suasana bertambah pilu apabila wanita berkenaan juga gagal menahan kesedihan.

Tertuduh diwakili peguam, Burhanudeen Abdul Wahid.

Sebelum ini, akhbar melaporkan anak sulung pasangan Rusdi Rani, 38, dan Siti Aishah Ariffin, 40, Noor Syafikah Nadia, ditemui dalam keadaan meniarap dan separuh bogel kira-kira jam 3.45 petang pada 30 November, di kawasan bendang dekat Kampung Alor Senibong, Langgar.

Manakala dua adiknya, Nurul Izzati Husna, 12 dan Putri Nurul Akma, 3, ditemui mati kira-kira jam 3 petang keesokan harinya dalam keadaan terapung di tali air Terusan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) Kampung Padang Petani.

Dalam kejadian itu, Noor Syafikah Nadia bersama adik-adiknya dilaporkan tidak pulang ke rumah di Kampung Alor Semela, Jalan Datuk Kumbar.

Mangsa dikatakan keluar dari rumah kira-kira jam 7.30 malam untuk ke rumah rakan yang terletak di Kampung Gelam kira-kira 15 minit dari rumah.

-sinarharian

Mengenai MyFM

My Fresh Media adalah satu portal media yang tidak pernah jemu menyediakan bacaan yang menarik untuk pembaca mengenai perihal hiburan, isu semasa, jenayah dan remaja.

0 comments:

Post a Comment

 

© 2014 MyFM. All rights resevered. Designed by Templateism

Back To Top