Wednesday 5 March 2014

Geng samun lori tumpas

10:21



JOHOR BAHRU – Tidak sampai setengah jam melakukan jenayah, polis berjaya menumpaskan satu sindiket samun yang melarikan lori bermuatan jongkong tembaga bernilai RM400,000 di Jalan Litar, Pasir Gudang, di sini, minggu lalu.

Dalam kejadian pada 24 Februari lalu, sekumpulan lelaki melarikan lori berkenaan yang membawa muatan 12 tan jongkong tembaga.

Ketua Polis Johor, Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, bertindak atas aduan diterima, pada jam 2.42 petang, polis melancarkan gerakan mengesan kumpulan terbabit.

"Tindakan pantas polis, dalam masa setengah jam lori berkenaan berjaya dikesan bersama muatannya di Ladang Sawit, Mount Austin. Bertindak atas maklumat, pihak polis telah menjalankan beberapa siri serbuan di sekitar kawasan Seri Alam dan Johor Bahru.

"Dalam serbuan ini, 18 lelaki berumur antara 19 hingga 48 tahun berjaya ditahan. Semakan rekod mendapati empat suspek mempunyai rekod jenayah. Kesemua suspek ditahan reman sehingga 8 Mac depan untuk membantu siasatan.

"Kita yakin dapat menyelesaikan 13 kes samun dengan tertumpasnya sindiket ini,” katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), di sini, semalam.

Dalam pada itu, Mohd Mokhtar berkata, Polis Johor berjaya menumpaskan satu lagi kumpulan samun kargo yang melarikan sebuah lori bermuatan perabot separuh siap di Plaza Tol Tangkak, Ledang, 28 Februari lalu.

Menurutnya, kecurian itu dilakukan oleh tiga lelaki bersenjata parang yang bertindak mengikat pemandu sebelum melarikan lori bersama muatan berkenaan yang dianggarkan bernilai RM500,000.

“Bertindak di atas maklumat, polis membuat beberapa siri serbuan keesokan harinya di Seremban, Negeri Sembilan. Dalam serbuan itu, tiga lelaki berumur antara 36 hingga 38 tahun yang merupakan pelaku kes telah ditahan.

“Selain merampas kembali lori bersama muatannya, polis turut merampas dua parang panjang, dua parang pendek, satu pemutar skru boleh laras dan dua telefon bimbit pengadu yang disamun.

“Semakan rekod jenayah, dua suspek didapati mempunyai rekod kesalahan lampau. Kesemua suspek ditahan reman hingga 8 Mac depan. Kedua-dua kes ini disiasat di bawah Seksyen 395/397, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Katanya, dengan tertangkapnya kumpulan ini, kita percaya dapat menyelesaikan enam kes samun lori bermuatan yang dilaporkan di Johor dan Negeri Sembilan.

-sinarharian

Mengenai MyFM

My Fresh Media adalah satu portal media yang tidak pernah jemu menyediakan bacaan yang menarik untuk pembaca mengenai perihal hiburan, isu semasa, jenayah dan remaja.

0 comments:

Post a Comment

 

© 2014 MyFM. All rights resevered. Designed by Templateism

Back To Top