Tuesday, 4 March 2014

Isteri kedua didenda RM500 lumur cili muka isteri pertama

15:47



KUALA LUMPUR: Seorang penjaja dan isteri keduanya didenda RM500 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana melumur cili ke muka isteri pertama penjaja itu bulan lalu.

Majistret Erry Shahriman Nor Aripin menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Ariff Jupirin, 26, dan warga Indonesia Srimeiriska Iswandy, 24, selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Mahkamah juga memerintahkan Muhammad Ariff dan Srimeiriska, menjalani hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda itu.

Muhammad Ariff dan Srimeiriska didakwa sengaja mendatangkan cedera terhadap peniaga Muntamah Ahmad Minlon, 46, yang juga seorang warga Indonesia dengan melumur mukanya dengan cili sehingga menyebabkannya merasa pedih dan sakit di kedua-dua belah matanya.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan rumah No. 12, Jalan Badak Off Jalan Yew, Cheras di sini pada 1 pagi 25 Feb lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Dalam kejadian 25 Feb lepas, semasa Muntamah berada di dalam kereta dan sedang menunggu kawannya di rumah sewanya di tepi Jalan Badak di sini, tiba-tiba dia didatangi kedua-dua tertuduh, dengan seorang daripada mereka melumurkan cili kisar ke mukanya, sebelum seorang lagi menariknya keluar kereta.
Selepas itu, kedua-dua tertuduh melarikan diri bersama kereta mangsa serta barang-barang perniagaan dan beberapa dokumen penting termasuk pasport, sijil nikah, dan sijil kelahiran anak.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. - Bharian

Mengenai MyFM

My Fresh Media adalah satu portal media yang tidak pernah jemu menyediakan bacaan yang menarik untuk pembaca mengenai perihal hiburan, isu semasa, jenayah dan remaja.

0 comments:

Post a Comment

 

© 2014 MyFM. All rights resevered. Designed by Templateism

Back To Top