Wednesday, 5 March 2014
Azizul tenang didesak soalan provokasi
10:37
STOCKHOLM - SWEDEN. Hari ketujuh perbicaraan pasangan Shalwati Nurshal dan Azizul Raheem Awaluddin yang berlangsung kelmarin menyaksikan pelbagai soalan berbentuk provokasi dilemparkan kepada Azizul selepas mahkamah berhenti rehat.
Azizul yang menafikan semua tuduhan ke atasnya memberitahu mahkamah beliau hanya berasa sedih apabila mendapat tahu Ammar menggunakan kad kreditnya untuk membeli permainan video atas talian, ‘minecraft’.
Bagaimanapun, Azizul menjelaskan dia tidak memukul Ammar dalam insiden tersebut sebaliknya mengambil pendekatan psikologi dengan bertanya sebab selain menjelaskan akibat daripada perbuatannya itu.
Saat ditanya alasan Azizul tidak memenuhi permintaan Ammar untuk membeli permainan tersebut, Azizul dengan tenang menyatakan bahawa permainan itu telahpun dimuat naik ke dalam iPad milik Ammar dan memuat naiknya sekali lagi ke dalam komputer riba adalah suatu pembaziran.
Selain itu, Azizul turut memberitahu langkah tersebut diambil bagi mengurangkan kelekaan dan mengembalikan fokus Ammar kepada pelajaran.
Sementara itu, Azizul turut diminta melakukan pengecaman ke atas dua batang kayu nipis yang diambil dari kediaman mereka di Spanga.
Azizul dalam kenyataannya menafikan kedua-dua kayu tersebut digunakan sebagai alat memukul sebaliknya menerangkan kayu itu dipanggil rotan yang dibeli di Malaysia ketika berkhidmat di Afrika Selatan.
Rotan yang terdapat dalam pelbagai saiz itu hanya boleh didapati di hutan tropika dan terkenal dalam sektor pembuatan perabot.
Azizul menambah rotan tersebut disimpan di rumahnya bertujuan untuk memberi pengenalan dan kesedaran terhadap adat budaya masyarakat Melayu kepada anak-anaknya selain berkongsi maklumat kepada pengunjung-pengunjung asing yang datang ke rumahnya.
Terang Azizul, rotan yang terpatah dua itu digunakan sebagai penunjuk ketika membaca al-Quran selain digunakan ketika bermain silap mata bersama anak-anaknya.
Pegawai pendakwa yang mengesyaki rotan itu patah ketika digunakan untuk memukul bagaimanapun disangkal oleh Azizul apabila menerangkan ianya patah ketika mereka tinggal di Afrika Selatan kerana faktor cuaca selain dijadikan permainan oleh anak-anaknya.
Ketika diminta mengulas dakwaan Ammar yang mengatakan dia dan isterinya ada berbincang mengenai pembahagian tugas untuk memukul anak-anak, Azizul pantas menafikan perkara tersebut dengan menyifatkan kelemahan penguasaan Bahasa Melayu Ammar menjadi punca anak keduanya itu tersalah faham akan perbualannya bersama Shalwati.
Azizul mengatakan bahawa perbincangannya dengan Shalwati akan dilakukan dalam Bahasa Melayu dan akan disertai dengan bunyi televisyen yang kuat selain pintu yang tertutup rapat bagi mengelakkan anak-anak terdengar masalah yang dibincangkan.
Selain insiden melibatkan Ammar, bapa kepada empat orang anak itu turut disoal mengenai insiden melibatkan anak ketiganya, Adam.
Azizul yang kembali beremosi tatkala ditanya mengenai Adam menyatakan dia hanya memarahi Adam kerana berbohong mengenai solat.
“Saya hanya memegang dan memandang ke arahnya sambil menerangkan kepadanya perlahan-perlahan agar bisa difahami dan diamalkan.” Ketika ini Azizul dilihat menundukkan mukanya menahan kesedihan.
Dalam pada itu, Hakim perbicaraan sempat menegur pegawai pendakwa yang dilihat bertanya soalan sama kepada Azizul berulang kali walaupun ada di antaranya merupakan soalan yang telah dijawab sebelum meminta perbicaraan diteruskan.
Azizul yang kelihatan tenang memberitahu setiap ibu bapa yang mempunyai anak wajib memberikan pendidikan kepada anaknya termasuk ajaran Islam.
Beliau menjelaskan solat yang merupakan asas atau tiang pembentukan peribadi Muslim merupakan contoh terbaik apabila Islam menyuruh mengajar anak-anak berusia 7 tahun untuk bersolat dan sekiranya masih gagal mengerjakan solat pada umur 10 tahun, ibu bapa dibenarkan memukul anak-anak tetapi tidaklah sehingga mendatangkan kecederaan.
Perbicaraan yang bermula jam 9 pagi itu kemudiannya memberikan peluang kepada peguam bela Azizul, Jonas Tamm untuk mengemukakan soalan balas.
Ketika disoal oleh peguambelanya Azizul diminta untuk menerangkan sifat dan perilaku Ammar kepada Mahkamah.
Azizul yang sekali sekala mengusap mukanya menggambarkan Ammar sebagai seorang yang mempunyai sifat kepimpinan selain gemar menganggap dirinya seorang yang serba tahu.
Oleh sebab itu, Azizul tidak menafikan jika ada di antara dakwaan yang dikemukakan oleh Ammar dalam kes ini merupakan suatu rekaan atau penambahan daripada cerita asal.
Sementara itu, Jonas sempat mewujudkan keraguan kepada mahkamah apabila meminta Azizul membuat pengecaman rotan yang didakwa oleh anak-anaknya sebagai alat memukul yang telah digunakan dalam kes berkenaan.
Walau bagaimanapun, rotan yang dikatakan panjang dan bersimpul di bahagian hujungnya itu tidak dijumpai di rumahnya sementara Azizul hanya mengenal pasti sebatang rotan yang telah terpatah dua di Afrika Selatan.
Sebagai penutup, ketika ditanya perasaan beliau mengenai anak-anaknya yang telah berada di Malaysia, Azizul mengakui merasa sedih namun dia merelakan keputusan itu demi kebaikan dan kelancaran terhadap perjalanan kes yang sedang berlangsung.
Sebelum perbicaraan berakhir, Mahkamah Daerah Solna tersebut kecoh seketika apabila pegawai pendakwaan berusaha memohon tambahan masa selama 7 minit bagi mengemukakan keterangan namun akhirnya ditolak Hakim.
Perbicaraan yang masuk hari kelapan hari ini akan menyaksikan sambungan keterangan Azizul dengan pihak pendakwaan dijangka akan menanyakan beberapa soalan tambahan kepada Azizul bagi membuktikan dakwaan mereka.
-sinarharian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment