KUALA LUMPUR: Produser filem Datuk Yusof Haslam menitiskan air mata ketika menonton konsert Teaterikal Suara Kita yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya, di sini, malam Isnin lalu.
Yusof, 60, yang bertanggungjawab menjulang nama Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain dalam industri filem tanah air pada era 90-an turut bangga dengan kejayaan ketiga-tiga artis berkenaan.
"Konsert ini mengembalikan nostalgia yang cukup bermakna sehingga ada beberapa babak yang buat saya menitiskan air mata.
"Saya terkenangkan perangai dan gelagat Awie, Erra dan Ziana sewaktu di zaman mula-mula saya mengarahkan mereka dalam filem-filem saya dahulu," katanya kepada mStar Onlineselepas menyaksikan persembahan pertama Konsert Teaterikal Suara Kita, di Panggung Sari, Istana Budaya, malam Isnin lalu.
Ketiga-tiga pelakon itu mencetuskan fenomena apabila muncul dalam filem Sembilu danSembilu 2 serta beberapa filem lain terbitan Skop Productions sehingga berjaya mencatatkan kutipan boxoffice.
Tambah Yusof, pada awalnya dia agak terkejut apabila diberitahu untuk mementaskan karya daripada filem-filem berkenaan.
Namun, setelah menonton hasil pementasan itu, dia percaya konsert tersebut bakal mendapat sambutan daripada peminat-peminat yang mengikuti perkembangan filem-filem arahannya itu.
"Sebenarnya saya terkejut apabila diberitahu bahawa mereka bertiga ingin pentaskan semula filem-filem saya.
"Saya macam tidak percaya mereka ingin bergabung semula. Tapi bila melihat persembahan mereka, saya percaya konsert ini akan mendapat kejayaan", ujarnya.
Sementara itu, Awie berkata, kejayaan pementasan tersebut menjadi bukti penyelesaian kemelut hubungan dingin antaranya dengan Erra Fazira.
Katanya, secara tidak langsung hubungan persahabatan mereka bertiga kembali terjalin seperti dahulu.
"Konsert ini menutup semua cerita dan kemelut antara saya dan Erra, di sini kami buktikan yang kami boleh jadi kawan baik dan melupakan masalah yang lalu," katanya.
Dalam pada itu, mengulas persembahan secara keseluruhan pada malam pertama itu, Awie berkata ada beberapa babak yang perlu diubah bagi memendekkan lagi tempoh masa.
Bagaimanapun, dia berpuas hati dengan persembahan dan reaksi penonton sepanjang 2 jam 30 minit konsert itu berlangsung.
Konsert Teaterikal Suara Kita dipentaskan dari 3 Mac sehingga 9 Mac ini di Panggung Sari, Istana Budaya di sini.
Tiket pementasan itu dijual dengan harga RM79 sehingga RM499 boleh dibeli di kaunter Istana Budaya.
- mstar
0 comments:
Post a Comment