Thursday, 27 February 2014
Cinta WhatsApp Ezzaty
09:21
Tidak pernah terlintas di fikiran, jejaka yang mendakwa peminat nekad melamarnya minggu ini. Bagaikan berada dalam mimpi, itulah yang dirasai pendatang baru, Ezzaty Abdullah.
Pelakon berusia 24 tahun itu hanya berkomunikasi dengan jejaka berkenaan menerusi aplikasi WhatsApp dan bertemu buat kali pertama, dua minggu lalu.
Perkenalan singkat itu bagaimanapun tidak menghalang Ezzaty menerima lamaran berkenaan.
Walaupun terselit perasaan bimbang, Ezzaty berani mengambil mengambil risiko dan berharap hubungan itu kekal.
“Dia selalu mengikuti perkembangan saya.
Entah dari mana dia dapat nombor telefon saya.
Kami berbual di telefon sekali saja, selebihnya menerusi WhatsApp.
“Dia menyatakan hasrat mahu bertemu orang tua saya.
kebetulan, ibu dan ayah datang tiga hari lalu dan saya temukan mereka.
“Ketika itulah dia luahkan hasrat mahu merisik.
Patutlah beriya-iya mahu bertemu ibu dan ayah.
Keberanian yang ditunjukkan melembutkan hati saya untuk menerima lamaran itu,” katanya.
Bagi memastikan dirinya tidak dipermain-mainkan, Ezzaty menyelidik latar belakang lelaki itu dan semakin yakin selepas bertemu dengan keluarga bakal mentuanya.
Ketika ditanya adakah bakal suaminya itu datang dari keluarga kenamaan, Ezzaty yang tidak lekang dengan senyuman manis menggelengkan kepala.
Tidak banyak maklumat mengenai jejaka itu didedahkan kecuali ahli perniagaan dan berusia 25 tahun.
“Dia orang biasa, bukan dalam kalangan VIP pun.
Kami belum merancang bila tarikh majlis pertunangan dan perkahwinan.
Dia cuma mahu 'ikat' saja dulu kerana bimbang saya bertemu ramai orang.
“Buat masa ini biarlah identitinya dirahsiakan dulu.
Insya-Allah sampai masa nanti saya akan dedahkan siapa dia.
“Sebelum terima lamaran saya tanya penerimaan dia terhadap kerjaya saya.
Lega bila dia tidak menghalang saya meneruskan karier sebagai pelakon.
Dia faham saya mahu kukuhkan nama dan sanggup menunggu,” kata anak jati Bentong, Pahang ini.
Beralih perihal karier, Ezzaty bersyukur apabila kehadirannya dalam industri hiburan tanah air diterima malah semakin bersemangat apabila berpeluang tampil sebagai heroin dalam filem terbitan Grand Brilliance, Antara Satu.
Lebih bermakna apabila dia dapat beraksi di samping idolanya, Bront Palarae dan Remy Ishak.
“Ini adalah filem pertama saya.
Tak sangka bawa watak utama, bergandingan pula dengan Bront dan Remy.
“Sebagai pendatang baru sudah tentu gementar berlakon di samping dua pelakon hebat ini apatah lagi karakter saya agak berat.
“Namun, jika ditolak sayang kerana peluang sebegini bukan selalu datang.
Semua perasaan bimbang saya buang jauh-jauh.
Filem ini akan jadi kayu pengukur sejauh mana kemampuan sebenar saya dan inilah masa untuk belajar,” katanya. - Metro
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment