Thursday, 27 February 2014

Mantap Ferrari 458 Speciale Diperkenalkan Di Litar Sepang

10:09


Sempena Hari Perlumbaan Ferrari, Naza Italia Sdn Bhd memperkenalkan model terbaru kereta berprestasi tinggi keluaran Itali itu menerusi model Ferrari 458 Speciale di Litar Antarabangsa Sepang, Jumaat lalu.

Ferrari 458 Speciale adalah varian istimewa untuk menawarkan pemanduan ekstrem bagi mengikuti jejak dua model siri sama seperti 458 Italia dan 458 Spider.

Jentera yang diperkenalkan pada peringkat global di Pameran Motor Frankfurt, Jerman, tahun lalu itu didatangkan dengan teknologi lebih canggih, sekali gus membuatkan ia lebih sempurna dan unik.

Kelebihannya terletak di bahagian enjin lapan silinder yang dikatakan sangat berkuasa dalam keluarga Ferrari untuk menyalurkan 596 kuasa kuda (hp) pada 6,000 rpm serta tork setinggi 540 Nm pada 6,000 rpm.

Enjin itu dibangunkan di bawah satu bumbung de­ngan 'jantung' untuk menggerakkan jentera perlumbaan Formula Satu (F1), malah pertukaran gearnya menyampaikan prestasi lebih mantap dan agresif selepas menggunakan sistem transmisi F1 klac berkembar untuk memecut sehingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam tempoh tiga saat.

Pecutan sehingga 200 km/j pula me­ngambil masa 9.1 saat dan mampu memecut melebihi 325 km/j. Satu daripada ciri istimewa Ferrari 458 Speciale ialah bentuk aerodinamiknya menjadikan faktor penting dalam 'downforce' bagi memberi kestabilan ketika memandu pada kelajuan tinggi.

Bentuk aerodinamik itu dibangunkan di Pusat Rekaan Ferrari dengan kerjasama syarikat pereka terkemuka Pininfarina di Itali.

Yang menarik ialah bentuk luaran jentera itu kebanyakannya direka semula dengan lebih ringan selepas mengurangkan ketebalan kaca yang ada terhadap Ferrari 458 Speciale itu.

Bamparnya turut menerima sentuhan terbaru yang memantapkan lagi imejnya, manakala bonet depan mempunyai dua laluan angin untuk me­nyalurkan udara ke radiator.

Ruang kokpit­nya pula dicipta dengan suasana jentera perlumbaan kerana diceriakan oleh bahan Alcantara dan gentian karbon. Harga anggaran kenderaan itu adalah RM1,238,800 tidak termasuk cukai.


SPESIFIKASI FERRARI 458 SPECIALE

Enjin: V8 bersesaran 4,495 cc.
Kuasa maksimum: 596 hp pada 9,000 rpm
Tork maksimum: 540 Nm pada 6,000 rpm
Berat: 1290 kilogram
Prestasi:
• 0-100 km/j: 3 saat
• 0-200 km/j 9.1 saat
Kelajuan maksimum: Melebihi 325 km/j

-Metro

Mengenai MyFM

My Fresh Media adalah satu portal media yang tidak pernah jemu menyediakan bacaan yang menarik untuk pembaca mengenai perihal hiburan, isu semasa, jenayah dan remaja.

0 comments:

Post a Comment

 

© 2014 MyFM. All rights resevered. Designed by Templateism

Back To Top