Sunday, 2 March 2014

Rumah PR1MA Di Kedah Bakal Siap

09:02



SUNGAI PETANI: Sebanyak 2,700 unit rumah mampu milik dibawah skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Kedah dijangka siap pada akhir 2016, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, rumah-rumah yang akan dibina menerusi dua projek itu adalah sebahagian daripada 20,000 buah rumah PR1MA yang disasarkan untuk dibina di 12 daerah di negeri ini.

"Di Kedah sahaja, akan ada 40,000 unit rumah mampu milik dan separuh akan dibina dibawah PR1MA manakala selebihnya akan dibangunkan oleh agensi-agensi lain.

"Dibawah PR1MA, kerajaan sudah meluluskan sebanyak 13,000 unit rumah yang akan dibina di enam daerah di Kedah. Hanya lokasi untuk membina 7,000 unit lagi kini sedang dikenal pasti," katanya ketika pelancaran rumah PR1MA peringkat negeri Kedah di sini pada Sabtu.

Najib menegaskan, rakyat juga akan mendapat penjimatan sebanyak 20 peratus jika memilih rumah yang dibina oleh PR1MA dan ia membolehkan golongan muda memiliki rumah sendiri.

Beliau berkata, rasionalisasi subsidi terhadap rumah PR1MA bukan sesuatu yang menentang falsafah 1Malaysia tetapi ia bertujuan menjimatkan kewangan untuk memanfaatkan lebih banyak projek seumpama itu.

Pengerusi Perbadanan PR1MA Datuk Seri Jamaluddin Jarjis berkata, projek-projek PR1MA di negeri ini disokong oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).

Menurutnya, PR1MA juga menawarkan skim sewa beli kepada rakyat yang tidak mendapat pinjaman.

Mengikut kenyataan PR1MA, sebanyak 13,000 buah rumah telah diluluskan untuk dibina di enam daerah seperti Kuala Muda, Kulim, Kota Setar, Kubang Pasu, Pokok Sena dan Langkawi.

Sebanyak 2,700 unit yang akan dibina terdiri daripada rumah teres satu dan dua tingkat serta rumah berkembar.

Setiap buah rumah dijual pada harga bermula RM118,888 untuk rumah teres satu tingkat dan daripada RM258,888 bagi rumah dua tingkat berkembar.

Setakat ini, PR1MA telah menerima 405,000 pendaftaran di seluruh negara.

Untuk maklumat lanjut mengenai PR1MA dan pendaftaran boleh dibuat melalui lama web www.pr1ma.my. - mStar

Mengenai MyFM

My Fresh Media adalah satu portal media yang tidak pernah jemu menyediakan bacaan yang menarik untuk pembaca mengenai perihal hiburan, isu semasa, jenayah dan remaja.

0 comments:

Post a Comment

 

© 2014 MyFM. All rights resevered. Designed by Templateism

Back To Top