PETALING JAYA: Pelakon Nasha Aziz terlalu berhati-hati soal penjagaan kesihatan diri kerana risau sekiranya dia terkena penyakit-penyakit serius.
Nasha atau nama sebenarnya Noraishah Abdul Aziz, 45, berkata, keadaan itu memaksanya menjalani ujian darah bagi mengenal pasti penyakit-penyakit yang ada dalam badan.
"Saya seorang yang terlalu berjaga-jaga dalam hal kesihatan, lebih-lebih lagi dengan usia yang semakin meningkat, tambahan pula sistem imun saya tidak kuat.
"Kerana itu saya telah menjalani ujian kesihatan sebagai langkah awal mencegah apa-apa penyakit. Tetapi, terkejut juga selepas ujian tersebut, ada beberapa penyakit serius terdapat dalam badan saya, cuma ia tidak aktif sahaja," katanya kepada mStar Online.
Tambah Nasha, keadaan itu membuatkan dia mula mengkaji selain meminta pandangan doktor mengenai pemakanan yang sesuai.
Dan sebagai langkah awal, pelakon yang pernah popular menerusi filem Bara itu turut mengamalkan memakan kapsul kunyit untuk memudahkan pembuangan hariannya.
"Alhamdulillah, sejak mengamalkan makan kapsul kunyit, pembuangan saya lebih mudah dan ia dapat melewatkan pengaktifan penyakit yang saya ada itu," tuturnya.
Sementara itu, Nasha berkata dia kini sedang sibuk menjalani tiga jenis perniagaan iaitu dalam bidang korporat, rekaan kasut dan fesyen kosmetik.
"Masih lagi terlalu awal untuk saya kongsi tentang perniagaan ini, tetapi apa yang saya boleh katakan, Alhamdulillah, ia sedang berjalan mengikut perancangan yang dibuat.
"Lebih-lebih lagi perniagaan di bidang korporat, ia mengajar saya mengenai perniagaan di sudut yang berbeza dan pemikiran saya tentang perniagaan sebegini terbuka luas.
“Cuma saya enggan mempromosikannya secara umum kerana saya mahu ia berjaya bukan kerana nama Nasha Aziz, tetapi kerana usaha keras saya.
"Untuk rekaan kasut dan fesyen kosmetik, Insya-Allah saya akan uarkan-uarkan menerusi pelancaran yang dibuat. Saya tidak mahu cerita panjang buat sementara waktu ini," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Nasha bakal muncul menerusi teater Di Bawah Lindungan Kaabah, arahan Rosminah Mohd Tahir yang bakal dipentaskan bermula 9 hingga 18 Mei depan.
Antara pelakon lain yang terlibat dalam pementasan itu ialah Adi Putra, Dafi, Elfira Loy dan Liza Abdullah.
-mstar
0 comments:
Post a Comment