Wednesday, 26 February 2014

Diriba bapa setiap kali ada tetamu

17:25


RANTAU PANJANG – Usianya sudah mencecah 37 tahun, namun seorang gadis yang merupakan penhidap penyakit Sindrom Down di Kampung Gading, Bakong, di sini akan berada di atas riba bapa jika sesiapa bertandang ke rumahnya.

Bapa gadis berkenaan, Ibrahim Mahmood, 70 berkata, keadaan itu berlaku kerana anaknya, Nor Asiah mudah berasa takut sekiranya berdepan dengan orang luar.

Menurutnya, anak keempat daripada lima beradik itu akan duduk atas ribaannya setiap kali ada tetamu atau jiran terdekat mengunjungi kediaman mereka.

"Saya baharu sahaja kehilangan isteri akibat penyakit Chikungunya dua minggu lalu. Maka sepanjang majlis tahlil berlangsung, saya terpaksa meribanya.

"Mujurlah anak-anak saya yang lain membawanya tinggal bersama selama beberapa hari sementara saya menyiapkan majlis tahlil selama tujuh malam," katanya.

Ibrahim yang hanya bergantung hidup dengan mengambil upah kerja kampung serta menoreh berkata, anak bongsunya turut membantu menguruskan Nor Asiah sementara dia keluar bekerja.

Tambahnya, bantuan RM150 sebulan yang diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dapat digunakan untuk membeli keperluan makanan mereka bertiga.

Sementara itu, anak bongsu Ibrahim, Nir Aini, 30 berkata, mengenangkan keperitan dihadapi bapanya, dia sanggup melupakan hasrat mencari kerja di perantauan.

Graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam bidang Teknologi Tumbuhan itu pernah bekerja sebagai Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) di seluruh negeri Kelantan.

"Kekurangan peluang kerja ketika ini juga menyebabkan saya terpaksa lupakan seketika hasrat mencari rezeki dan tinggal di rumah untuk menjaga kakak," katanya. - Sinar Harian

Mengenai MyFM

My Fresh Media adalah satu portal media yang tidak pernah jemu menyediakan bacaan yang menarik untuk pembaca mengenai perihal hiburan, isu semasa, jenayah dan remaja.

0 comments:

Post a Comment

 

© 2014 MyFM. All rights resevered. Designed by Templateism

Back To Top